Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Perairan di Laut China Selatan adalah selamat, terkawal, kekal bebas serta terbuka kepada komuniti maritim, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Menurut Adly, kehadiran aset maritim dari China di perairan itu adalah lebih kepada pasukan pengawal pantai dan bukan kapal perang tentera laut negara berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, kehadiran aset maritim itu adalah selaras dengan pendekatan strategi zon penampan (gray zone strategy) dilaksanakan oleh China di Laut China Selatan.
“Walaupun kehdairan kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini, mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti yang berlaku dengan negara lain contohnya Filipina dan Vietnam.
“Sungguhpun begitu, Kementerian Pertahanan tetap komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan di perairan negara terutamanya di Laut China Selatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai jaminan keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak.
Tambah beliau, Malaysia juga akan memanfaatkan platform ASEAN 2025 selaku pengerusi untuk selesaikan sebarang isu berbangkit termasuk isu di Laut China Selatan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI