Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan mengapa Kampung Baru Cina diberi peruntukkan sehingga RM84 juta seperti yang diumum dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berasa kurang senang dengan pengumuman peruntukkan itu yang dianggap terlalu besar.
Irwan mempersoalan sama ada terdapat desakan daripada mana-mana pihak yang ingin menaik taraf Kampung Baru Cina supaya diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO.
“Kerajaan seharusnya memperkasakan kampung-kampung Melayu kerana kedaannya yang lebih daif.
“PERKASA juga ingin mendapatkan penjelasan secara terperinci mengenai peruntukan RM1 bilion khsuus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur dan ini termasuklah sekolah vernakular.
“Berapa juta peruntukan yang disalurkan untuk sekolah bukan milik kerajaan,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kampung Baru Cina diperuntukkan RM84 juta antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India.
Pada masa sama, Irwan berharap Perdana Menteri tidak menganak tirikan golongan majoriti dengan pengumuman yang boleh merugikan Melayu.
“Sebelum ini kita amat berharap supaya industri kecil dan sederhana (IKS) diperkasakan tetapi ianya tidak mendapat perhatian kerajaan.
“PERKASA melihat Perdana Menteri bersungguh cuba menambah baik kedudukan negara tetapi malangnya kaum majoriti di Malaysia tertinggal dengan pengumuman yang seperti tidak menjaga kebajikan kaum majoriti,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI