Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Sabtu – Negara-negara kecil perlu ambil iktibar situasi yang sedang berlaku di Timur Tengah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya negara kecil diceroboh dan rakyat dibunuh beramai-ramai, pastinya tiada siapa akan datang bantu.
Difahamkan, Dr Mahathir merujuk kepada situasi genosid yang dilakukan Israel terhadap Gaza serta serangan di Lubnan baru-baru ini.
“Sudah tentu akan ada mesyuarat dalam kalangan Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Akan ada solusi yang baik. Namun negara penceroboh akan mengabaikan PBB dan terus membunuh,” katanya dalam ciapan di X, hari ini.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel telah membunuh kira-kira 42,500 rakyat Palestin dan mengakibatkan 99,546 lagi cedera ekoran serangan berterusan di Gaza sebelum negara haram Israel itu mula menyerang Lubnan beberapa minggu lalu.
Kelmarin, dunia digemparkan dengan pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Yahya Sinwar di selatan Gaza.
Kematian Sinwar disanjungi ramai dalam kalangan pengguna media sosial yang mengiktiraf beliau sebagai pejuang sejati kerana syaid di medan pertempuran demi memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI