Oleh Wartawan TV Pertiwi
Ketua Ahli Ekonomi Bank Mualamat mendakwa sudah tiba masanya bagi kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95.
Dr Afzanizam Mohd Rashid berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mendapat kestabilan politik maka situasi semasa dilihat waktu paling sesuai.
“Bila sudah ada kestabilan politik, dasar pula sudah dirangka maka isu seperti kesenjangan pendapatan dan ketidakseimbangan perbelanjaan kerajaan perlu ditangani segera.
“Jika kita tengok subsidi RON95 memang memberi manfaat kepada orang kaya dan itu sebenarnya sudah tidak seimbang.
“Memang ia bukan langkah popular tetapi dalam keadaan semasa, rasionalisasi subsidi RON95 boleh dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pengumuman sama ada rasionalisasi subsidi RON95 akan dikuatkuasakan antara tumpuan rakyat Malaysia dalam Belanjawan 2025.
Rasionalisasi diesel di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa Jun lalu dengan pengguna kenderaan bahan bakar itu diberikan insentif tunai.
Afzanizam berkata jika subsidi RON95 dilaksanakan maka kerajaan perlu meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Apabila konsolidasi fiskal dilaksanakan, harga barang memang akan naik maka bantuan wang tunai perlu diberikan sebagai langkah mitigasi untuk meningkatkan kuasa beli rakyat.
“Skop penerima juga saya jangka akan diperluas kerana jika harga RON95 diapungkan, secara teorinya kita bercakap mengenai penjimatan berbilion ringgit.
“Katakan, kita dapat penjimatan sebanyak RM20 bilion setahun dan kerajaan ambil RM10 bilion daripada jumlah itu untuk menambah bantuan, saya rasa ini akan melegakan rakyat,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI