Oleh Kamil Awang
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengalu-alukan pengenalan Cukai Warisan dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat ini.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Yazid Othman berkata bagaimanapun peratusan cukai yang diperkenalkan perlu pada kadar rendah sebagai permulaan.
“Perlu rendah untuk permulaan. Satu hingga dua peratus sehingga mekanisme yang optimum dapat disediakan dan sehingga data keberkesanan diperolehi,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau diminta mengulas ramalan penganalisis ekonomi yang membayangkan Cukai Warisan akan diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Ramalan itu bagaimanapun disanggah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mendakwa cukai berkenan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Ahmad Yazid berkata, Belanjawan 2025 bukan sahaja perlu memperkenalkan Cukai Warisan malah Cukai Kekayaan untuk menampung perbelanjaan negara.
Katanya, kedua-dua cukai itu bukanlah untuk memangsakan kaum Cina kerana kekayaan tidak terbatas kepada warna kulit.
“Begitu juga dengan cukai kekayaan. Kedua-dua cukai ini fokus kepada golongan yang kaya jadi kriteria kena jelas.
“Ia mesti ada insentif cukai sekiranya mereka melabur jumlah yang besar dalam negara.
“Sang kaya tidak kenal warna kulit. Ini kaedah memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI