Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri menerima kenyataan tewas di Parlimen Bagan Datuk.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin seharusnya membuat bantahan awal dan bukannya pendedahan melalui audio siar.
“Pilihan raya ini ada undang-undang. Kalau rasa boleh menang atau tidak berpuas hati buat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa yang ditetapkan.
“Bukan buat spekulasi murahan seperti ini seolah-olah berikan kemenangan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Menang tetap menang dan kalah tetap kalah mengikut undang-undang. Tidak perlu acah-acah jadi herolah. Pilihan raya akan datang lawanlah lagi apa ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di Facebook miliknya hari ini mengulas pengakuan Shamsul Iskandar dalam audio siar yang tular di media sosial.
Menerusi audio siar itu, Shamsul Iskandar mendakwa menerima panggilan telefon daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa Anwar meminta kerusi Bagan Datuk diserahkan kepada Zahid agar sebuah kerajaan campuran dapat dibentuk di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI