Oleh Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Siasatan dan tindakan terhadap Bloomberg diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, tindakan perundangan kini sedang diteliti pihak berkuasa selepas menerima laporan dan PDRM sudah mengambil beberapa tindakan termasuk memanggil wakil daripada agensi media antarabangsa itu dan individu terkait pada 1 dan 11 Oktober lepas.
“Adakah ada tindakan, tindakan itu tunggu PDRM dan sekiranya didapati kesalahan yang nyata, itu keputusan Peguam Negara untuk mendakwa,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang bertanya sekiranya kerajaan bersedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga mencemarkan imej negara dalam usaha memerangi salah guna kuasa dan rasuah.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.
Kemudian pada 26 September lepas, media antarabangsa itu pula melaporkan dengan memetik sumber bahawa Anwar memberi arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anaknya serta bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Mengulas mengenai perkara ini, Anwar menyifatkan kedua-dua laporan itu sebagai tohmahan berbahaya dan menyatakan bahawa SPRM juga telah menafikannya secara tegas.
“Apa yang berlaku adalah araham umum yang saya lakukan di Parlimen yang mana saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM dan badan-badan pengkuat kuasa bertindak tegas memerangi rasuah tanpa tolak ansur.
“Ini arahan yang diberikan tetapi tidak melibatkan kes-kes khusus kerana SPRM serta Jabatan Peguam Negara harus bertindak bebas dan telus tanpa rasa takut atau pilih kasih” tegasnya.
Pada masa sama, Anwar berpandangan bahawa PDRM harus mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya bersetuju hal seperti ini harus telus dan dihebahkan supaya rakyat mengetahui.
“Wakil Bloomberg telah dipanggil mengikut kenyataan PDRM kepada saya. Itu yang saya bacakan. Apa yang berlaku selepas itu, saya belum dimaklumkan,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI