Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan media kerajaan untuk membenarkan beliau membuat sesi dialog bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar mengenai isu Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, Mohd Na’im menjadi Menteri Agama yang membentuk agenda keluasan dan kesederhanaan selaras dengan idea Madani.
Bagaimanapun, Mohd Asri berkata, Mohd Na’im seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan.
“Soalan kita, apakah Menteri Agama hari ini ingin membawa Malaysia ke zaman Ibn Tumart dengan menjadikan tafsiran Islam yang bersifat sektarian menguasai pentadbiran negara moden ini?
“Apa kata media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan Menteri Agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya?” soal beliau dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau mengeluarkan kenyataan susulan wujudnya beberapa kontroversi berhubung RUU Mufti Wilayah beberapa hari sebelum ia dibentangkan di Sidang Parlimen buat bacaan kali kedua dan ketiga yang sudah bermula pada Isnin.
Sebelum ini, tular dakwaan daripada sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa berasal daripada Sabah dan Sarawak menolak sebulat-bulatnya RUU Mufti Wilayah dengan alasan ia bakal memberi kuasa besar kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Pada masa yang sama, Peguam Hak Asasi Latheefa Koya pula mendakwa bahawa RUU berkenaan bakal mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.
Justeru itu, Mohd Na’im tampil menjelaskan fatwa yang diwartakan di bawah RUU itu hanya mengikat orang Islam sahaja dan terhad di bawah bidang kuasa negeri.
Beliau berkata RUU itu bertujuan untuk menyediakan peruntukan berkaitan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta hal-hal berkaitan di Wilayah Persekutuan sahaja.
Selain itu, katanya penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan adalah ciri negara berdaulat dengan tiada individu bebas melanggar prinsip perlembagaan, selain sekatan kebebasan seseorang tidak bermaksud hak asasi dilanggar kerana keabsahan hak asasi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI