Oleh Azzman Jamal
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau tidak akan menutup kes kesalahan terhadap bekas setiausaha politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador, sekiranya pihak berkuasa menerima laporan.
Menurut Anwar, semakan rekod mendapati kelulusan kontrak yang diberikan kepada syarikat yang terkait Farhash diluluskan oleh kerajaan terdahulu pada 2022, sebelum Farhash menyertai syarikat berkenaan.
“Kelulusan kontrak yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, tetapi saya tak mahu panjangkan kerana ini melibatkan isu-isu remeh dan individu. Kerana kebetulan dia (Farhash) pernah jadi staf saya maka ia dibangkitkan,
“Tetapi saya nak beritahu, kelulusan kepada syarikat itu adalah semasa kerajaan terdahulu. Semasa itu, Farhash belum menjadi anggota syarikat terbabit. Ada rekod, ini bukan soal politik,” kata Anwar di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ketika Sesi Pertanyaan Menteri.
Soalan yang dikemukakan berkaitan laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar memberi arahan supaya tidak menyiasat pembelian aset oleh Farhash.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebahagian besar saham yang dimiliki adalah milik Sultan dan tiada kaitan dengan Farhash.
“Kalau ada pun, dia ikut tender proses biasa, kalau ada pelanggaran bawa dan saya bicara di parlimen ini.
“Kalau ada kes disiasat oleh SPRM, saya tidak akan menutupnya,” tambah beliau.
Pada 16 Mac lalu, Farhash muncul sebagai pemegang saham besar HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9% atau 16.1 juta saham.
Nama syarikat itu menjadi tumpuan selepas dianugerahkan kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI