Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk A Kadir Jasin menggesa kerajaan memperkenalkan Cukai Warisan bagi menampung jumlah hutang negara yang semakin meningkat.
Wartawan veteran itu berkata, walau kebanyakan kaum Cina yang terpaksa memikul beban namun ia perlu dilaksanakan demi pembangunan ekonomi negara.
“Berkenaan ramalan cukai warisan pula, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikannya. Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan kabinet.
“Jika diperkenalkan, sebahagian besar beban cukai ini akan ditanggung oleh masyarakat Cina kerana orang Cina adalah pemilik harta pusaka terbesar di negara ini.
“Tetapi kerajaan wajib melakukan sesuatu bagi penambah hasil memandangkan beban perbelanjaan yang semakin meningkat dan hutang yang melambung,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di Facebook milik hari ini mengulas kenyataan Loke mengenai Cukai Warisan.
Loke pada Ahad berkata Kabinet tidak pernah berbincang atau bercadang memperkenalkan Cukai Warisan seperti didakwa sesetengah pihak.
Katanya, setakat ini tiada sebarang perbincangan berkaitan Cukai Warisan dan ia hanyalah andaian penganalisis bank.
Kadir berkata dengan pelaksanaan Cukai Warisan ia sedikit sebanyak mampu menyokong perbelanjaan mengurus tangga gaji baharu kakitangan awam.
“Dari Januari hingga April tahun ini sahaja, hutang kerajaan naik sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion daripada RM1.17 trilion pada akhir 2023.
“Hutang negara melonjak daripada kira-kira RM31 bilion pada tahun 1978 kepada RM1.5 trilion sekarang, iaitu peningkatan 48 kali ganda dalam tempoh 46 tahun,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI