Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan menghantar sistem pertahanan anti-peluru berpandu canggih ke Israel ketika ketegangan antara negara haram itu dengan Iran semakin memuncak.
Jabatan Pertahanan AS berkata, kelulusan untuk menghantar Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) dan kru dalam kalangan tentera AS untuk menguatkan pertahanan udara Israel itu telah diberikan oleh Ketua Pentagon.
“Ini akan menguatkan lagi sistem pertahanan bersepadu udara Israel. Tindakan ini menunjukkan komitmen AS mempertahankan Israel dan rakyat AS di negara itu, daripada serangan peluru berpandu balistik oleh Iran pada masa akan datang,” kata Pentagon dalam kenyataan.
Pengumuman ini dibuat kira-kira dua minggu sejak Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap negara haram Israel pada 1 Oktober lepas sebagai tindak balas ekoran pembunuhan pemimpin Hamas dan Hizbullah serta seorang jeneral Iran.
Sebelum ini, pemimpin negara haram Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar akan melakukan serang balas tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa peperangan itu akan tersebar pada skala lebih besar di Timur Tengah.
Pada awal bulan ini, Presiden AS, Joe Biden menyarankan supaya Israel tidak menyerang Iran, bagaimanapun Israel berulang kali tidak memperdulikan nasihat tersebut. – Aljazeera
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI