Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa Fadhlina Sidek meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, ini kerana Fadhlina gagal mengekang pelajar di sekolah persendirian mengibarkan bendera China.
“Sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) gagal menangani isu ini, PERKASA mendesak Fadhlina harus letak jawatan sebagai Menteri Pendidikan kerana gagal memupuk semangat cintakan negara.
“KPM pernah menetapkan bendera P4l35t1n tidak dibenarkan masuk ke sekolah, sekarang pelajar sekolah menengah dibenarkan mengibarkan bendera China atas alasan hubungan diplomatik.
“Walaupun sekolah menengah swasta tidak mengikuti silibus KPM, sekolah swasta tiada kebebasan mutlak untuk membuat apa juga aktiviti melanggar peraturan yang boleh mencemarkan imej sesebuah sekolah,” katanya.
Irwan Fahmi mengulas laporan media berbahasa Cina memaparkan pelajar di sebuah sekolah menengah persendirian di Pulau Pinang mengibarkan bendera China.
Katanya, lesen sekolah persendirian itu perlu digantung kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan.
“PERKASA ingin mendapatkan penjelasan daripada Menteri Pendidikan bagaimana sebuah sekolah di Pulau Pinang boleh mengibarkan bendera negara China?
“Apa yang sedang berlaku di negara kita? Adakah proses mencinakan Malaysia sedang meresap masuk ke dalam sekolah-sekolah?
“PERKASA menggesa Menteri Pendidikan untuk jelaskan bagaimana pelajar sekolah menengah swasta boleh dilibatkan dengan gerakan pencinaan yang sedang diatur oleh pihak tertentu?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI