Oleh Wartawan TV Pertiwi
Gabungan Nasionalis bimbang program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bakal menafikan hak orang Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata jika perkara itu menjadi kenyataan maka ia mengulangi penjajahan British membawa masuk warga asing secara besar-besaran.
“Kini sekali lagi kita diberitakan dengan kemasukan 1.2 juta pelancong dari negara China yang tidak keluar dari negara ini.
“Projek MM2H yang memberikan kelonggaran untuk pelancong mendapat pelbagai faedah seperti rakyat negara ini mendapat sambutan yang luar biasa.
“Banyak projek mega yang diberikan kepada syarikat China menyaksikan kemasukan ribuan pekerja dari sana,” coretnya di laman Facebook hari ini.
Kebimbangan Aminuddin merujuk kepada Laporan Maklumat Pembangunan Kaji Selidik Strategik yang mendedahkan pada 1949 kaum Melayu bukan lagi majoriti.
Ia berikutan kemasukan pendatang luar tanpa had yang dirancang British menjadikan demografi tempatan bertukar wajah.
Berdasarkan laporan itu, penduduk Melayu di Semenanjung dan Singapura berjumlah 2.6 juta orang berbanding kaum Cina dan India berjumlah 3.2 juta orang.
Aminuddin berkata kerajaan perlu memberi jaminan agar orang Melayu tidak menjadi kaum minoriti dengan pengenalan MM2H.
“Apakah dengan lambakan pendatang ini akan mengulangi kembali sejarah silam? Apakah mereka semua ini akhirnya akan mendapat kerakyatan dan boleh mengundi?
“Apakah orang Melayu akhirnya akan menjadi minoriti di negara sendiri? Bagaimana dengan keselamatan negara?” soalnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#NASIONALIS #MM2H #wargaasing #Aminuddin #majoriti