Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pelantikan Anuar Fariz Fadzil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baharu menimbulkan persoalan, kata Isham Jalil.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mempersoalkan sama ada Anuar Fariz merupakan adik kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“Fahmi, hendak tanya. Ini bukan adik kamukah? Kalau betul tahniahlah adik-beradik jawatan besar dalam kerajaan. Abang menteri, adik CEO. Reformasi!
“Satu lagi hendak tanya, adik kamu ini dulu kerja di TikTok, bukan? Dahulu yang padam kandungan saya di TikTok itu beliau ada terlibat tidak? Kalau ada macam mana ya prosesnya?
“Kamu telefon dia suruh padamkan kandungan saya atau macam mana? Atau kamu sudah tidak hubungi dia lama? Tanya saja,” coretnya di laman Facebook miliknya hari ini.
Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh semalam mengumumkan Anuar Fariz sebagai CEO baharu agensi itu.
Anuar Fariz pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 2013 hingga 2017.
Beliau seterusnya menyertai Axiata sebagai Ketua Pengurusan Pihak Berkepentingan Kerajaan Wilayah sebelum dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Strategi Sektor Awam dan Ekonomi Digital pada 2019.
Anuar Fariz kemudiannya menyertai TikTok Malaysia pada Februari lalu dan dilantik sebagai CEO MDEC menggantikan Mahadhir Aziz yang tamat perkhidmatan pada 31 Ogos 2024.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#MDEC #IshamJalil #Anuar Fariz #CEO #Madani