Oleh Wartawan TV Pertiwi
Sayap Bersekutu Parti BERSATU menggesa kerajaan menarik balik cadangan menghapuskan subsidi pendidikan anak golongan kaya.
Ketua Penerangannya, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah terkebelakang dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara yang inklusif dan berkualiti.
Cadangan terbaru kerajaan ini bukan sahaja merupakan kesilapan dasar yang serius, tetapi juga ancaman terhadap masa depan Malaysia.
“Dengan menafikan sebahagian masyarakat akses kepada pendidikan berkualiti, kita bukan sahaja mengkhianati rakyat, tetapi juga menggagalkan potensi negara,” katanya.
Sanjeevan berkata demikian mengulas cadangan Anwar yang membayangkan untuk menghapuskan subsidi pendidikan anak golongan kaya.
Katanya, cadangan itu perlu ditolak kerana tiada definisi kaya yang jelas digambarkan kepada rakyat.
“Definisi ‘kaya’ yang tidak jelas membuka pintu kepada manipulasi dan ketidakadilan. Istilah ‘kaya’ yang digunakan dalam cadangan ini bukan sahaja kabur, tetapi juga merbahaya.
“Ia membuka pintu kepada ketidakadilan dan diskriminasi. Apakah had pendapatan yang menentukan seseorang itu ‘kaya’? RM10,000 sebulan? RM20,000?
“Hari ini, mereka yang dianggap ‘kaya’ mungkin kehilangan hak. Hari esok, siapa pula? Kita menolak sebarang usaha untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia,” katanya.
Aktivis masyarakat itu berkata cadangan berkenaan juga perlu ditolak kerana membuka ruang diskriminasi yang lebih meluas dalam perkhidmatan awam.
Katanya, dengan menolak sebahagian masyarakat daripada sistem ini, kita bukan sahaja melemahkan institusi pendidikan awam, tetapi juga mengancam keharmonian sosial negara.
“Langkah ini boleh mewujudkan dua tahap pendidikan di Malaysia — satu untuk golongan berada dan satu lagi untuk yang kurang berkemampuan.
“Ini akan memperluaskan jurang sosial dan ekonomi, membawa kepada ketidakstabilan sosial jangka panjang.
“Cadangan ini dilihat seperti langkah populis yang mengorbankan masa depan anak didik negara hanya untuk keuntungan politik jangka pendek,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#orangkaya #Sanjeevan #SayapBERSATU #pendidikan