Oleh Wartawan TV Pertiwi
Gabungan Nasionalis mengesa UMNO menghentikan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana sering menjadi mangsa buli DAP.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata sudah tiba masanya UMNO kembali mendapat sokongan orang Melayu dengan meninggalkan kerajaan campuran.
“Cuma yang menjadi kerisauan ialah dalam meneliti hubungan kedua-dua parti ini, DAP nampak lebih dominan dan tegas serta berani.
“Manakala, UMNO masih kurang menampakkan ‘belangnya’, mungkin kerana mahu menjaga hati pihak lain atau mungkin memang kurang berani. Itu kita tidak pasti.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memikirkan kembali kedudukan mereka dalam PH. Peranan UMNO lebih bermakna jika berada di luar PH.” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di Facebook miliknya hari ini mengulas gesaan Datuk Nur Jazlan Mohamed agar PH memohon maaf kepada UMNO.
Timbalan Speaker Dewan Negara itu membuat gesaan berkenaan kerana tohmahan PH sejak sekian lama membuatkan UMNO dipandang kotor pengundi.
Gesaan itu bagaimanapun diselar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Dr Boo Cheng Hau yang mendakwa PH membantu UMNO mendapatkan sokongan rakyat.
Aminuddin berkata pertelingkahan UMNO dan DAP dijangka berterusan dan akan memberi impak negatif kepada pembangunan negara.
“Pertelingkahan ini dijangka akan berlaku dan akan terus menjadi duri di dalam daging hubungan antara parti di dalam PH.
“Umum melihat hubungan UMNO dengan DAP ibarat ‘tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’. Mana mungkin negara akan maju ke hadapan jika hubungan dingin sebegini berterusan.
“Ramai yang melihat UMNO ‘tenggelam’ di dalam PH namun ramai yakin bahawa parti itu akan menonjol kembali jika berada di luar.” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#NASIONALIS #Aminuddin #UMNO #PH #DAP #politik