Oleh Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai ketua pengarah jabatan itu berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff yang memegang jawatan itu sejak 21 Mac 2022, menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Sirajuddin mempunyai pengalaman selama 32 tahun dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia termasuk Jabatan Agama Islam Negeri.
Katanya, Sirajuddin juga pernah bertugas sebagai Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia.
Sirajudin merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Wal Qanun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Sarjana Sains Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Selain itu, beliau juga memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Komputer dari University of South Australia (UniSA).
“Semoga Sirajuddin akan dapat menggalas amanah ini untuk memacu JAKIM dengan lebih cemerlang melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datin Paduka Hakimah atas segala jasa dan sumbangan bakti kepada kerajaan dan pengurusan hal ehwal Islam,” kata Mohd Naim.
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.