Oleh Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah adalah satu kerugian bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada amalan demokrasi negara, kata bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Menurut Azhar, apabila jumlah peratusan undi itu rendah dan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, ia memberi gambaran bahawa wakil rakyat yang menang itu tidak betul-betul mencerminkan suara rakyat di kawasan tersebut.
Namun begitu, beliau berkata, disebabkan Malaysia mengamalkan dasar ‘First Past The Post’ (FPTP) yang mana pemenang ditentukan oleh majoriti undi yang diraih, maka tiada halangan untuk mana-mana individu untuk tidak keluar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi.
“Dari segi pemerhatian politik, itu adalah satu tanda yang tidak baik. Kalau kurang daripada 50% (peratusan keluar mengundi) maka kita perlu ingat, bahawa lebih ramai yang tidak mengundi pemenang itu berbanding yang undi dia.
Dari aspek praktikaliti pula, kos pilihan raya berkenaan jadi mahal sebab kerajaan membelanjakan contohnya RM4 juta untuk menguruskan 60,000 pengundi di kawasan tersebut, tetapi yang hadir hanya 30,000. Ibarat kosnya dua kali ganda,” katanya kepada TV Pertiwi.
Terdahulu, (PRK) DUN Mahkota di Johor baru-baru ini menyaksikan hanya 53.84% daripada 66,318 pengundi berdaftar di kawasan itu keluar mengundi.
Angka ini adalah lebih rendah berbanding sasaran SPR yang menetapkan jangkaan 60%.
Dalam PRK yang diadakan pada PRK itu, calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah tampil sebagai pemenang apabila meraih 27,995 undi menewaskan calon dari Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar yang meraih 7,347 undi.
Ini menunjukkan BN meraih 20,648 undi majoriti.
Mengulas mengenai jumlah peratusan undi rendah pada PRK DUN Mahkota, Azhar berkata, trend itu adalah bukan perkara luar biasa apabila dikaitkan dengan PRK kerana implikasinya tidak sebesar Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN).
Justeru, katanya, ini menyumbang kepada pelbagai faktor yang menyebabkan ramai daripada pengundi enggan keluar atau pulang ke kawasan untuk mengundi.
Antaranya ialah faktor kelesuan politik apabila pertelingkahan tanpa henti antara pemimpin dan parti politik menyebabkan rakyat ‘kurang minat’ untuk ambil tahu perkembangan semasa.
“Selain itu, terdapat juga persepsi bahawa PRK ini tidak akan mendatangkan perubahan apabila kedudukan kerajaan negeri masih sama tidak kira mana-mana calon yang tampil sebagai pemenang.
“Ada yang tak balik disebabkan kos. Mereka yang menetap di luar kawasan seperti Kuala Lumpur atau Singapura mungkin enggan balik kerana perlu tanggung kos perjalanan dan sebagainya,” tambah beliau.
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.