Bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Ahmad Atory Hussain meninggal dunia pada jam 6.37 pagi tadi.
Berita mengenai pemergian beliau dikongsikan oleh anak Allahyarham, Nurul Ainun menerusi hantaran di Facebook.
“Dimaklumkan bahawa ayah, Prof Dr Ahmad Atory Hussain telah kembali menemui Penciptanya pada 6.37 pagi, 30 Sept 2024, 26 Rabiulawal 1446, di wad ICU Thomson Hospital Kota Damansara.
“Semoga roh ayah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Dr Ahmad Atory, 73, yang merupakan penganalisis politik terkenal di negara ini telah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia, USM, sebagai pensyarah selama tujuh tahun, iaitu dari tahun 2008 hingga 2015.
TV Pertiwi juga sering menghubungi beliau bagi mendapatkan pandangannya mengenai hala tuju politik orang Melayu.
Kami di TV Pertiwi mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Prof Ahmad Atory. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para solihin. Amin.