Oleh Wartawan TV Pertiwi
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengemukakan kewajaran pembinaan Pelabuhan Barat 2 (Westports 2).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata dengan pembinaan Westports 2, pelabuhan itu nanti mampu mengendalikan 28 juta kontena setahun.
“Tahu tak sekarang ini Westports menguruskan lebih 10 juta kontena 20 kaki (TEU) setiap tahun selama lima tahun berturut-turut, menjadikannya salah satu pelabuhan paling sibuk.
“Kapasiti Westports sekarang 14 juta TEU tetapi dengan peningkatan permintaan setiap tahun, memang ada keperluan untuk peluasan kapasiti.
“Westports 2 akan menggandakan kapasiti pengendalian kontena Westports daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU setahun,” coretnya di laman Facebook miliknya hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Westports 2 di Pelabuhan Barat yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, selain pertambahan jumlah kontena, Westports 2 juga menjanjikan pertambahan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Westport setakat hari ini sudah pun mewujudkan lebih 5,600 peluang pekerjaan yang 100 peratus diisi oleh rakyat Malaysia.
“Peluasan Westports 2 pula akan mencipta lebih 6,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
“Kapasiti tambahan dan infrastruktur moden Westports 2 akan mengukuhkan lagi kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pemain utama perdagangan antarabangsa,” katanya.
#Zafrul #Westports #pelabuhan #pelaburan
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI