Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa negara itu mungkin akan bertindak balas dengan menggunakan senjata nuklear sekiranya Rusia diserang.
Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Rusia yang disiarkan media Rusia di Moscow, Putin terdahulu mengumumkan garis panduan baharu penggunaan senjata nuklear yang mana beliau sebagai presiden akan memberi kata putus terhadap sebarang keputusan terhadap penggunaan senjata terbabit.
Putin berkata, sebarang serangan daripada negara yang tidak memiliki senjata nuklear tetapi membabitkan bantuan daripada negara yang memiliki senjata tersebut akan dianggap sebagai ‘serangan bersama’ terhadap Persekutuan Rusia.
Beliau berkata, Rusia mungkin akan menggunakan senjata nuklear sebagai tindak balas terhadap serangan konvensional yang boleh menggugat kedaulatan negara itu.
Bagaimanapun, Putin tidak merujuk kepada Ukraine secara terus dan menyatakan semakan semula garis panduan itu adalah sewajarnya ekoran perubahan landskap global yang mencetuskan ancaman baharu serta risiko kepada Rusia.
Kenyataan Putin itu sekali gus menggambarkan kebarangkalian yang lebih rendah untuk Presiden Rusia itu menggunakan senjata nuklear dalam peperangan bersama Ukraine.
Amaran tersebut bagaimanapun dinyatakan susulan negara bersekutu di Barat yang mempertimbang untuk benarkan Ukraine menggunakan senjata jarak jauh menyerang Rusia. – Aljazeera
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.