Oleh Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar pihak yang menuduhnya mencuri duit kerajaan supaya kemukakan bukti dan bukan sekadar ‘cakap tidak serupa bikin’.
Justeru, bekas Perdana Menteri itu berkata, tuduhan tersebut adalah fitnah daripada pihak yang benci dan tidak berpuas hati terhadapnya kerana sudah satu tahun tiada bukti ditunjukkan setakat ini.
“Jangan cakap seperti Nabi, (tetapi) buat seperti setan.
“Saya bagi masa untuk tunjuk bukti, diminta dua minggu untuk tunjuk bukti, sekarang lebih satu tahun, tidak tunjuk bukti.
“Cakap tidak serupa bikin. Tidak dapat tanduk telinga dipulas. Tidak dapat saya, kacau anak saya,” katanya dalam ciapan di akaun X beliau hari ini.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima pengisytiharan harta daripada dua anak Dr Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani.
Terdahulu, pada Januari lalu, kedua-dua ahli perniagaan itu diberi notis untuk mengisytiharkan harta, dan pada 26 April mereka diberikan tempoh lanjutan 30 hari untuk berbuat demikian.
Kemudian pada Mei lalu, agensi penguat kuasa itu bersetuju memberi lanjutan tempoh kepada Mirzan dan Mohkzani untuk mengisytiharkan aset mereka.
Dr Mahathir pada April tahun lalu bersetuju untuk memberi masa lanjutan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab notis tuntutannya yang menuntut Perdana Menteri menarik balik kenyataan didakwa memfitnahnya pada Kongres Khas PKR 2023.
Dr Mahathir mengemukakan notis tuntutan kepada Anwar pada 27 Mac 2023 menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, yang sebelum ini memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar supaya menarik balik kenyataan dibuat pada 18 Mac tahun itu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TVPertiwi