Oleh: Tyah Helmi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussain, mengesahkan seramai 13 orang kanak-kanak yang menginap di rumah amal di bawah seliaan ‘Global Ikhwan Service dan Business Holding (GISBH) pernah dan mempunyai rekod diliwat.
Menurut Razaruddin, pihaknya telah mengenal pasti seramai sembilan kanak-kanak yang diliwat sejurus pihak polis melakukan siasatan pada 2 September lalu.
Manakala yang selebihnya, disahkan diliwat ketika serbuan dibuat pada 11 September.
“Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.
“Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook rasmi PDRM, hari ini.
Ujarnya, kesemua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.
Hasil serbuan mendapati, kesemua kanak-kanak berada dalam lingkungan usia belasan tahun.
Pada Rabu lalu, dalam Operasi Global yang dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi, polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang diselamatkan dari 20 rumah amal yang dikendalikan di bawah GSBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Ujar Razaruddin, hasil dapatan maklumat daripada siasatan yang dilaksanakan pihaknya mendapati kumpulan berkenaan melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA. Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi