Oleh Azzman Jamal
Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membidas kenyataan ahli akademik Dr Abu Hafiz Salleh Huddin yang dibuat terhadap JAKIM dan mendakwa ia menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif mengenai fungsi jabatan agama itu.
Menjelaskan perkara itu, Presiden PKPU, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, JAKIM bukan sebuah agensi yang berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Justeru, katanya, kes yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang seperti kes Global Ikhwan Service & Business Holding (GISBH) bukan di bawah bidang kuasa jabatan agama itu.
“Bagaimanapun, JAKIM sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata, JAKIM adalah sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Tambahnya, JAKIM juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukkan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.
“Dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila melibatkan bidang kuasa negeri.
“Oleh itu, JAKIM sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil selari dengan peruntukan undang-undang,” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.