Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan segera susulan laporan salah laku Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
Perdana Menteri berkata JAKIM perlu melengkapkan siasatan segera dan memberikan nasihat agar kemelut yang melanda GISB diselesaikan, lapor Malaysia Gazette.
“JAKIM ada kekuatan penyiasatan dan penyelidikan untuk memberikan nasihat. Jadi ia ada saluran. Jangan lengahkan kalau benar.
“Kaji hal sebenar soal akidah umat. Ini penting, perkara besar soal penyalahgunaan kuasa, nama agama dan penderaan anak-anak. Ini semua soal serius bagi umat.
“Ramai yang tanya mengapa kelewatan dalam mengambil tindakan. Jadi saya minta badan-badan ini supaya ambil tindakan dan siasatan segera,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan solat fardhu Jumaat di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra, Kajang.
Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama JAKIM hari ini mendakwa jabatan itu bukan agensi yang berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Presidennya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, kes yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang seperti GISB bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA. Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TVPertiwi #Jiwamerdeka67 #GISB #JAKIM