Oleh Azzman Jamal
BANGI, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan ramai dalam kalangan pemimpin PAS patut dicutikan kerana sedang disiasat pihak berkuasa.
Dalam ciapan di X, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan Zahid bahawa Presiden UMNO itu bukan sahaja disiasat malah telah didakwa di mahkamah, namun masih menjalankan tugas dan tidak diarahkan untuk bercuti.
“Pendakwaan itu telah dihentikan, dan dia (Zahid) dilantik sebagai TPM.
“Itulah Malaysia pada hari ini. Jika anda didakwa di mahkamah, pastikan anda dilantik sebagai TPM dan pertuduhan itu akan digugurkan,” kata beliau dalam ciapan di X hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Zahid membidas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta agar beliau dicutikan ketika siasatan terhadapnya dijalankan.
Tambah Zahid, ramai lagi pemimpin PAS juga patut bercuti kerana sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Pada September tahun lalu, Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin hentikan semua prosiding terhadap Zahid.
#TvPertiwi
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.