Oleh: Tyah Helmi
Bangi, Khamis – Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis Rashidi Harris, berkata pihaknya bersama NGO-Melayu menyifatkan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) secara jelas gopoh mengeluarkan kenyataan yang meleset serta tanggapan yang salah berhubung bantahan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di setiap jabatan kerajaan.
“Sepatutnya mereka juga harus mengamalkan sikap yang sama apabila NGO Melayu-Islam bersuara seringkali dibalas “tabayun” dahulu sebelum terjah membuat kenyataan di media sosial,”
Tambah Rashidi, kenyataan MCCBCHST yang dikatakan salah faham itu dilihat beliau sebagai mencabar kerajaan.
‘Dari perspektif lain ia seperti mencabar apabila kerajaan terpaksa turunkan dua menteri mengadakan pertemuan dengan kumpulan ini,”
Dalam perkembangan sama, beliau kesal dan mendakwa kerajaan seolah mengamalkan elemen dua darjat apabila memberi keutamaan kepada Majlis Perundingan berkenaan yang diberi peluang untuk bertemu dengan dua orang menteri kabinet.
“Sangat tidak munasabah apabila kerajaan terpaksa hantar taraf menteri mengadap kumpulan salah faham sedangkan permintaan NGO Melayu-Islam langsung tidak dilayan, tidak diambil peduli seolah-olah NGO Melayu-Islam tidak wujud, yang ada hanyalah NGO bukan Islam,” katanya.
“Sikap “double standard” ini jika berterusan boleh mengugat kempen Kerajaan Madani yang dibanggakan yang seharusnya lebih mendekati NGO NGO Melayu-Islam,”
“Mengapa perlu dilayan bantahan kumpulan ini kerana perkara penempatan pegawai JAKIM di jabatan atau kementerian bukan polisi baharu sebaliknya telah ditempatkan sejak dahulu dasar yang dibuat pada 2006, 2007 dan keberadaan mereka adalah untuk membantu sama ada dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian berkenaan, bukan memberi pandangan berkaitan soal dasar.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengadakan pertemuan dengan pihak MCCBCHST dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu beliau bagi pihak NGO Islam menganggap mereka dianaktirikan ketika mereka menyuarakan pelbagai bantahan kerana mempertahankan Perlembagaan dan Kedaulatan negara.
“Sebagai contoh, isu terbaharu mengenai bahasa Melayu, tidak ada satu kementerian pun yang panggil untuk bincang tentang isu tindakan sembilan institusi yang menolak silibus Bahasa Melayu. Sedangkan tindakan NGO Melayu-Islam adalah mempertahankan Bahasa Kebangsaan.”
Bercakap kepada TV Pertiwi, beliau juga berharap kerajaan tidak berlembut dan harus lebih terbuka mendepani agensi berkenaan dengan tindakan yang sewajarnya.
Sumber: Kenyataan Media Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
#jiwamerdeka67
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.
Klik : http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TvPertiwi