Oleh Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Pihak pengurusan Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum dan Bungkus Kaw Kaw semalam tampil mengaku bahawa rangkaian restoran terbabit masih belum menerima pensijilan Halal Malaysia.
Namun, rangkaian restoran berkenaan masing-masing menjelaskan bahawa proses untuk mendapatkan status itu sedang diusahakan.
Dalam kenyataan bersama, pihak pengurusan Johnny’s Restaurants dan Black Canyon berkata, semua bahan makanan yang digunakan di restoran terbabit seperti ayam, telur, daging dan bahan mentah lain diperoleh dari pembekal yang memiliki sijil Halal.
Katanya, salinan sijil itu dapat dirujuk di semua restoran sekiranya perlu.
“Kami memahami kepentingan pensijilan Halal kepada pelanggan kami dan sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan itu daripada JAKIM untuk semua cawangan kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pihak pengurusan Ah Cheng laksa Group yang mengendali jenama Bungkus Kaw Kaw berkata, permohonan pensijilan halal itu sedang dilaksanakan pada tahun ini dan akan mengambil masa untuk selesaikan bagi semua 60 cawangannya.
“Dapur Berpusat Ah Cheng Laksa yang membekalkan produk bahan mentah kepada semua premis Ah Cheng Laksa dan Bungkus Kaw Kaw merupakan pemegang sijil Halal Malaysia.
“Semua pembekal bahan mentah yang dihantar ke premis ini dikawal sepenuhnya oleh pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Pada masa sama, Pengurusan Dolly Dim Sum juga menyatakan bahawa dapur berpusat rangkaian restoran itu menerima sijil Halal daripada JAKIM.
“Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024, kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami,” jelasnya.
#TvPertiwi
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.