Oleh : Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Selasa – Universiti Sains Malaysia (USM) diberi hak untuk mengakses imej digital koleksi surat-surat Francis Light oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.
“The Light Letters “merupakan himpunan manuskrip terdiri daripada 1,200 surat dalam 11 jilid yang merangkumi surat, tulisan dan catatan catatan oleh raja-raja Melayu, pembesar Kepulauan Melayu, isteri-isteri bangsawan Melayu, Francis Light dan beberapa pedagang Inggeris dalam tempoh 26 tahun antara 1768 hingga 1794.
Koleksi surat itu mengandungi surat-surat dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Borneo, Acheh, Asahan, Batu Bahara, Siak, Palembang, Pontianak dan lain-lain.
Surat-surat itu diklasifikasikan kepada surat yang dikirim kepada Light, surat yang dikirim kepada Scott, rakan niaga Light; nota, catatan, draf surat dan salinan yang dikirim oleh Light, surat-surat Raja-raja dan pembesar-pembesar, lain-lain dokumen seperti bil, resit, petisyen dan kontrak.
Surat-surat yang boleh diakses oleh USM ini diletakkan di bawah Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794, dan merupakan koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia termasuk bil, resit, petisyen dan kontrak yang dikeluarkan oleh Light.
Kesemuanya ditulis dalam tulisan jawi, memberi gambaran bahawa pedagang dan pelaut Inggeris ketika itu mahir menulis bahasa Arab dan bertutur dalam bahasa Melayu.
Light dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 1786. Namun, sejarah penubuhan Pulau Pinang dipertikaikan beberapa pihak yang mendakwa negeri itu telah ditubuhkan jauh lebih awal.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, hak eksklusif yang diberi kepada USM itu memberi peluang besar kepada penyelidikan khususnya dalam bidang sejarah Melayu Nusantara. – Getaran
#jiwamerdeka67
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.
Klik : http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TvPertiwi