BANGI, Rabu – Bermula 15 September depan, semua peniaga beragama Islam yang berniaga di pasar malam di Perlis diwajibkan menghentikan operasi ketika Maghrib bagi menghormati waktu solat.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, operasi perniagaan perlu berhenti bermul 10 minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib.
Katanya, ini bagi membolehkan peniaga dan pengunjung untuk menunaikan solat dalam keadaan selesan dan tidak tergesa-gesa.
Menurut beliau, peraturan itu selari dengan pelaksanaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ yang dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis sebagai inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah’.
“Program ini akan berkuatkuasa bermula 15 September 2024 di semua tapak pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri ini.
“Solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan, atau di lokasi yang disediakan oleh pihak penganjur tapak pasar malam, selain mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebahagian kecil peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam turut digalakkan untuk menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan, namun tiada halangan jika mahu meneruskan aktiviti perniagaan.
Mengulas lanjut, Asrul Aimran berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli-belah ketika masuk waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat.
“Buat permulaan, sebagai langkah mendidik masyarakat, anggota penguatkuasa PBT akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ini dengan memberi nasihat serta teguran terlebih dahulu,” tambahnya.
Sumber: FB Asrul Aimran Abd Jalil
#TvPertiwi
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.