Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong penuh penstrukturan semula perjawatan dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai usaha memperkasakan keupayaan sumber manusia di jabatan itu.
December 2022
BANGI, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet berkata, senarai Timbalan Menteri akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Insya-Allah, calon-calon Timbalan Menteri juga akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya di laman Facebooknya, hari ini.
Sabtu lalu, seramai 28 Menteri penuh mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ia termasuk dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet.
Menurut Anwar, mesyuarat Kabinet yang beliau pengerusikan hari ini berjalan lancar.
Jelasnya, ia penuh dengan suasana harmoni dan produktif.
“Saya menegaskan bahawa isu-isu rakyat terutamanya masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin,” ujarnya.
Kabinet Kerajaan Campuran pimpinan Anwar mula dibentuk apabila beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November lalu.
BANGI, Rabu – Hakim Amerika Syarikat (AS) mengetepikan saman terhadap dakwaan Putera Arab Saudi, Mohammed Salman dalam kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada tahun 2018.
Hakim Persekutuan Washington, John Bates menerima pendirian kerajaan AS bahawa Putera Mohammed yang dilantik sebagai Perdana Menteri Arab Saudi pada September lalu, menikmati imuniti di mahkamah AS sebagai ketua negara asing.
Bates berkata, saman sivil yang difailkan balu Khashoggi, Hatice Cengiz dan kumpulan aktivisnya Dawn membuat hujah yang kuat dan munasabah bahawa Putera Mohammed dalang di sebalik pembunuhan itu.
Namun, hakim itu berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menolak pendirian rasmi kerajaan AS yang dikemukakan dalam satu kenyataan rasmi kepada mahkamah pada 17 November, bahawa putera raja itu ‘kebal’ undang-undang sebagai pemimpin asing.
Putera Mohammed muncul sebagai pemerintah de facto kerajaan selama beberapa tahun di bawah pentadbiran bapanya, Raja Salman.
Aktivis yang menggesa Putera Mahkota bertanggungjawab atas pembunuhan Khashoggi menyuarakan kekecewaan selepas keputusan itu diumumkan.
Pada 2020, Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara kepada lapan orang berusia antara tujuh hingga 20 tahun atas pembunuhan itu.
Tahun lalu, Biden mendedahkan laporan perisikan yang mendapati Putera Mohammed meluluskan operasi terhadap pembunuhan Khashoggi, namun dinafikan pihak berkuasa Arab Saudi hingga merenggangkan hubungan antara Washington dan Riyadh.
Namun disebabkan keperluan politik Timur Tengah, khususnya ancaman dari Iran dan kuasa Arab Saudi ke atas pasaran minyak, Biden pergi ke negara itu pada Julai lalu yang dilihat sebagai sebagai langkah ‘menutup’ kes pembunuhan itu.
Khashoggi adalah seorang wartawan dan aktivis yang berpangkalan di AS yang menjadi salah seorang pengkritik putera raja paling lantang.
Dia didakwa dibunuh ketika ke Turki bersama tunangnya untuk mendapatkan dokumen perkahwinan mereka dari Konsulat Arab Saudi di Istanbul.
Selepas memasuki konsulat itu, Khashoggi diculik dan dibunuh sepasukan ejen Arab Saudi sebelum mayatnya dikerat dan dilupuskan.
BANGI, Rabu – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini susulan daripada pertemuan dan perbincangan dengan AGC yang diketuai oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh semalam.
“Ini antara langkah pertama ke arah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Kita berharap kerjasama baik ini akan membuahkan hasil,” katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.
Laporan sebelum ini mendedahkan, Azalina menegaskan untuk menyemak semula undang-undang yang sudah lapuk serta membuat pindaan yang diperlukan supaya ia relevan pada masa kini.
Antara yang akan diusahakan ialah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memelihara kebebasan budi bicara Pendakwa Raya.
Langkah sedemikian penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.
Ini susulan kontroversi buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, yang mempersoalkan tahap daya saing dan kebolehpercayaan pegawai undang-undang di AGC.
BANGI, Rabu – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak berpegang kepada kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ apabila melantik seseorang yang sedang berdepan kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan Anwar melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM adalah sesuatu yang janggal dan tidak memungkinkan usaha kerajaan membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.
“Ya, betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.
“Saya berpendapat, kalau kita nak bersihkan negara kita, tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.
“Jadi, saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya ketika melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara hari ini.
Beliau mengulas penubuhan Kerajaan Campuran membabitkan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa Ahli Parlimen lain.
Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM ketika Anwar mengumumkan barisan 28 anggota Kabinet Kerajaan Campuran pada 2 Disember lalu.
Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu, memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.
Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas melakukan penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.
Prosiding bela diri Ahmad Zahid yang berjalan sehingga 2 November lalu ditangguhkan hingga disambung semula pada Januari depan.
Sequerah membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari iaitu pada 16 hingga 19 Januari, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei 2023.
Calon tarik diri tetap diisytihar pemenang jika dapat undi tertinggi – Pengerusi SPR
BANGI, Rabu – Calon yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan tetap diisytiharkan sebagai pemenang sekiranya memperoleh jumlah undi yang tertinggi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia kerana kesemua calon sedia ada telah disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon 24 November lepas.
“Kita akan umum (nama calon yang menang walaupun mereka menarik diri). Calon yang (boleh) tarik diri hanya pada waktu pencalonan (antara jam 9 hingga 10 pagi) pada hari berkenaan.
“Jadi selepas jam 10 pagi sudah tidak boleh (menarik diri) kerana telah disahkan layak bertanding,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah hari ini.
Pada 29 November lepas, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
Selepas itu, langkah yang sama turut diambil di Parlimen Padang Serai dengan calon Warisan turut mengumumkan untuk memberi laluan kepada PH selepas hari penamaan calon bagi kawasan itu selesai.
BN turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRU15 Parlimen Padang Serai dan memberi laluan kepada PH beberapa jam sebelum hari pengundian awal dijalankan pada 3 Disember lepas.
Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk Azman Nasrudi (Perikatan Nasional), Datuk C. Sivaraj (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas, Sreanandha Rao.
PRU15 DUN Tioman pula melibatkan penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussien; Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN Nor Idayu Hashim.
Sementara itu, Abdul Ghani menyasarkan statistik keluar mengundi antara 60 hingga 75 peratus pada PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman hari ini.
Justeru, beliau meminta majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja yang layak mengundi di kawasan masing-masing untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Setakat 11 pagi tadi, SPR merekodkan sebanyak 28 peratus statistic keluar mengundi bagi Parlimen Padang Serai dan 27 peratus bagi DUN Tioman. – Bernama
BANGI, Rabu – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menepis tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu yang membayangkan sebahagian dana kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Abdul Hadi berkata, hanya individu yang tidak mampu berfikir dengan waras boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada PN.
“Sedangkan saham syarikat judi jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
“Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.
“Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke serta syarikat judi.
“Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas,” katanya dalam Minda Presiden Pas menerusi hantaran Facebook hari ini.
Timbalan Pengerusi PN itu menambah, tuduhan itu bermakna tauke judi tersebut sangat bodoh kerana mereka pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan.
Katanya, apabila Pas memerintah Kelantan, mereka mengambil satu langkah bagi menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama.
Ini kerana, mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.
“Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian.
“Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri, sama seperti sekarang.
“Apabila negeri Kelantan, Terengganu serta Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasa mereka, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH,” katanya.
BANGI, Rabu – Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu dijangka akan dilantik tidak lama lagi bagi menggantikan Datuk Seri Asri Hamidin.
Memetik laporan New Straits Times, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengumumkan secara khusus bahawa Asri akan diganti, beliau membuat kenyataan merujuk kepada perkara itu
Beliau dilapor berkata, peranan penasihat Kementerian Kewangan baharu akan ditentukan selepas rundingan dengan pegawai kanan kementerian dan Ketua Setiausaha kementerian baharu.
Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar secara rasmi selepas memulakan tugas di Kementerian Kewangan pada Selasa.
Asri tidak hadir hadir dalam pertemuan itu dan difahamkan beliau dalam tempoh bercuti.
Mengenai penasihat, Perdana Menteri berkata, beliau akan membincangkan peranan mereka dengan bekas Presiden Petronas dan Ketua Eksekutif, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Saya perlu berbincang dengan Hassan syarat rujukan, parameter dan keutamaan penasihat,” katanya.
Ketika mengumumkan Kabinetnya minggu lalu, Anwar memaklumkan pasukan penasihat untuk membantunya sebagai menteri kewangan akan dibentuk yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.
BANGI, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu, namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan.
“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas.
Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lepas.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata, beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – Bernama
Kuala Lumpur – Ekoran kenyataan parti pemerintah negara India, Bharatiya Janata Party (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan agar kerajaan menyiasat serta kenal pasti pemimpin politik dan masyarakat Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan ekstrimis India tersebut.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata tindakan terus juga perlu diambil terhadap mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kaitan atau cenderung kepada ekstrimis India itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Aminuddin berkata kerajaan harus mengkaji jumlah rakyat Malaysia atau segmen masyarakat mana yang sebenarnya menjadi simpatisan kepada ideologi kumpulan berkenaan.
Tambahnya, Islamofobia di Malaysia semakin meningkat dan pada waktu ini rakyat hanya menunggu masa untuk meletup jika ianya tidak ditangani dengan tegas.
Pautan Video : https://www.youtube.com/watch?v=6HzPz-XeLB8
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh dua ahli politik kanan BJP, parti pemerintah India – Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal terhadap Rasulullah SAW.
Beliau berkata, sejak BJP memerintah India, terdapat banyak peristiwa yang membangkitkan kemarahan apabila umat Islam di negara itu teruk diserang dalam pelbagai bentuk.
Terdahulu, pada Ahad parti BJP menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah SAW dalam debat televisyen, sementara Naveen Jindal atas komennya di media sosial.
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/09/sultan-selangor-cadang-menteri-agama-hadir-festival-bon-odori/