BANGI, Sabtu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memberi pelepasan selama lima hari kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bermula 17 November ini untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar selepas satu surat edaran mengenai pelepasan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk pulang mengundi telah tular di media sosial hari ini.
Satu kenyataan media juga telah dikeluarkan oleh KPT yang turut ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad berikutan isu tersebut.
Menurut kenyataan itu, tarikh pelepasan akan bermula pada 17 hingga 21 November bagi memberikan waktu untuk pelajar IPT membuat perjalanan pergi dan balik mengundi di negeri masing-masing.
Kenyataan itu juga meminta supaya semua IPT memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.
Tambahnya, semua kelas dan aktiviti pelajar dalam tempoh berkenaan hendaklah ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh yang lain.
Keputusan itu dibuat selaras usaha melaksanakan Undi 18 seperti yang diwartakan oleh kerajaan mengikut Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Menurut laporan sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.
https://www.youtube.com/watch?v=iSUSwwO4_FY