BANGI, Sabtu –Manifesto utama yang perlu diangkat oleh semua parti politik adalah isu infra pendidikan dan penyelesaian sekolah daif dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, isu sekolah kurang murid serta sekolah sesak di kawasan bandar juga dianggap wajar diberi perhatian dalam memperbaiki infra pendidikan negara.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kelemahan sistem pelaksanaan pendidikan dan kekangan kewangan negara jelas mengugat usaha Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Menurut Dr Anuar, daripada 10,020 buah sekolah kerajaan di negara ini, satu pertiga sahaja sekolah terletak di kawasan bandar dan selebihnya di luar bandar yang tidak diutamakan keadaan infra yang sempurna
“Hampir dua per tiga daripada sekolah-sekolah kita itu ataupun sekitar 7 ribu buah itu berada di kasan luar bandar dan pedalaman. Dan kita memang sedia maklum, sekolah-sekolah ini berada dalam keadaan yang infranya sangat tidak memuaskan dan sebahagiannya itu adalah sekolah-sekolah yang dalam keadaan yang sangat daif.” – Dr Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Pertiwi bagi menjelaskan keadaan infra pendidikan sekolah luar bandar yang perlu diambil perhatian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara juga berhadapan dengan isu sekolah kurang murid yang sekali gus menunjukkan elemen pembaziran sumber dan ketidakcekapan dalam urus tadbir sistem pendidikan.
“Memang kita mengharapkan kerajaan mengambil serius tentang isu infra ini. Sebab kalau kita bercakap tentang mentransformasikan pendidikan, jadikan sistem pendidikan kita berkualiti dan sebagainya. Tetapi jika infra sekolah ini berada dalam keadaan tidak memuaskan. Ia akan menggagalkan usaha untuk transformasi pendidikan untuk menjadikan sekolah sejahtera dan sebagainya.”- Dr Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM
Jelas beliau, negara telah gagal mencapai matlamat yang dihasratkan dalam dokumen yang menunjukkan data-data pencapaian pendidikan yang disasarkan oleh PPPM sehingga tahun 2021.