BANGI, Ahad – Meskipun penjawat awam tertakluk kepada peraturan lisan atau bertulis khususnya membabitkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan mengenai sesuatu isu tetapi pandangan yang dilontar atau teguran mereka perlu dinilai terlebih dahulu.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, cadangan yang baik boleh diperhalusi Kementerian Pendidikan dan menambah baik sistem atau dasar yang dilihat wujud kelompongan demi kualiti pendidikan pelajar.
“Sebagai penjawat awam memang semua penjawat awam tertakluk kepada peraturan yang telah sedia ada berkaitan dengan larangan memberikan kenyataan media itu kita faham dan mengakui wujud perkara itu bagaimanapun peraturan itu harus dilihat secara lebih menyeluruh tentang apa yang disebut oleh penjawat awam tersebut sebelum kita boleh mengambil tindakan kepada beliau.” Dr Anuar Ahmad / Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM
Tambahnya isu yang diutarakan Cikgu Fadli berhubung isu silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek Matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat adalah perkara lama yang dibangkitkan.
Malah katanya, KPM sendiri dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin sedang berusaha menyelesaikan isu beg sekolah berat dan semakan kurikulum sekolah rendah dan menengah akan dilakukan atas dakwaan mata pelajaran terlalu sukar untuk pelajar.
“Jadi apa yang disebut oleh cikgu Fadli ini pada saya adalah isu yang telah diketahui oleh semua pihak oleh masyarakat, ibu bapa, guru-guru malah diperakui dan disahkan sendiri oleh pihak KPM jadi mengapa guru ini nak dikenakan tindakan kepada sesuatu yang memang semua orang dah tahu?”-Dr Anuar Ahmad / Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM
Sehubungan itu katanya, keputusan untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada Cikgu Fadli perlu dinilai semula kerana beliau dianggap tiada niat untuk memburukkan KPM mahupun mengeluarkan kenyataan berbaur politik.
“Tidak perlu mengambil tindakan tatatertib membuang kerja saya rasa itu terlalu keras sedangkan apa yang disampaikan oleh beliau tidaklah bersifat politik atau tujuan menjatuhkan reputasi tidak. Itu adalah pandangan beliau sebagai seorang guru sebagai ayah untuk melihat sistem pendidikan kita menjadi lebih baik penambahbaikan dilakukan dan kalau kita tengok rekod yang diberikan pun dia adalah guru yang baik cemerlang disukai oleh guru, pelajar-pelajar oelh ibu bapa bagi saya tidak adil kalau kita nak lihat kenyataan itu sebagai mengkritik KPM terus kita menganggap dia bersalah dan perlu dijalankan tindakan saya rasa kita kena lebih berlaku adil.” – Dr Anuar Ahmad / Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM
Sebelum ini tular surat yang dikeluarkan oleh KPM kepada Cikgu Fadli Mohamed Salleh bertajuk ‘tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat’ yang melibatkan tiga pertuduhan terhadap Mohd. Fadli selepas guru berkenaan lantang menegur silibus sistem pendidikan di laman Facebooknya.
Antara teguran yang dikemukakan adalah isu beg berat, silibus tinggi dan padat, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek yang banyak dan masa belajar untuk subjek teras adalah singkat.
Hantar Cikgu Fadli di Facebooknya mendapat perhatian menteri pendidikan dengan menyatakan hasrat untuk berjumpa bagi mendapatkan maklum balas berhubung silibus matematik daripada guru subjek itu.
Bagaimanapun, Mohd. Fadli mempersoalkan keprihatinan Radzi yang baru timbul sedangkan beliau sudah lama memperjuangkan isu berkaitan sekolah sejak sekian lama.
https://www.youtube.com/watch?v=QuwsnSC6AFg