BAGAN DATUK, Ahad – Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diangkat sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disangkal Presiden UMNO itu sendiri.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak berganjak dengan keputusan mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika BN memenangi PRU-15.
“UMNO telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri dan itu tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun kuasa melantik perdana menteri adalah kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut perkara 40 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.” – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Presiden UMNO
Tambahnya, jika ada parti pembangkang yang menamakan orang lain daripada Ismail Sabri, beliau menganggap itu adalah usaha untuk mereka memecahkan UMNO dan BN.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Ahad.
Pada 14 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon perdana menteri pada PRU15.
Beberapa UMNO bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan pada Sabtu dan Ahad turut mengemukakan usul agar Ismail Sabri dicalonkan sebagai perdana menteri jika BN menang pada PRU15.
https://www.youtube.com/watch?v=SXnv4COlUt0