SABTU, Alor Setar – UMNO menjangkakan Pakatan Harapan (PH) bakal menang dengan mudah di Parlimen Alor Setar sekiranya Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon daripada MCA di kerusi terbabit.
Ketua UMNO bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, keadaan itu dijangka berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk MCA dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu.
Justeru, katanya, UMNO Bahagian Alor Setar akan terus mendesak agar kerusi tersebut diserahkan kepada UMNO yang dilihat memiliki peluang lebih cerah menawan Parlimen berkenaan.
Tambah Yusof, beliau yakin calon UMNO sangat sesuai diletakkan di kerusi Parlimen Alor Setar berikutan parti itu berjaya mendampingi kira-kira 44,000 keluarga sejak empat tahun lalu terutama ketika tempoh pandemik COVID-19.
Mohd Yusof berkata, MCA sepatutnya berlapang dada menyatakan hak parti itu di Parlimen Alor Setar kerana kemenangan calon sepatutnya menjadi keutamaan kepada BN pada PRU15.
Katanya, jika wakil MCA dipilih bertanding di kerusi terbabit, pihaknya bercadang menyerahkan jawatan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Alor Setar kepada wakil MCA bagi mengelak dakwaan UMNO melakukan sabotaj ketika tempoh kempen.
Dalam pada itu, beliau tidak kisah walau siapa pun yang menjadi calon parti itu di Parlimen berkenaan kerana tumpuan utama mereka adalah untuk memenangkan kerusi tersebut untuk BN.
Parlimen Alor Setar dianggap sebagai kerusi tradisi MCA kerana dikuasai parti itu sejak PRU pada 1955, sehinggalah ia dirampas PKR pada PRU13.
Pada PRU14, PKR mempertahankan kerusi itu dalam saingan tiga penjuru bersama PAS dan BN.
https://www.youtube.com/watch?v=As0egCU4NBU