BANGI, Sabtu – Pilihan Raya Umum (PRU) yang progresif dapat memastikan sentimen pelabur tidak terjejas sekiranya berlaku perubahan Kabinet.
Pada waktu ini Malaysia dianggap memerlukan pilihan raya progresif berkenaan kerana ia mampu menaikkan pemimpin dan kerajaan yang dilihat mempunyai visi untuk negara.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata perkara ini penting kerana sejak pilihan raya bagi tempoh dua dekad iaitu pada tahun 1999 hingga tahun ini, pilihan raya di Malaysia yang berlaku adalah pilihan raya regresif iaitu untuk menjatuhkan pemimpin dan kerajaan yang dilihat bermasalah.
“Dalam erti kata lain, pilihan raya di tempoh itu, masyarakat memilih untuk membuang apa yang mereka tak mahu sama ada sebab faham atau tidak, itu satu isu juga. Masyarakat tidak memilih untuk menaikkan apa yang mereka sebenarnya mahu untuk masa depan negara dan bangsa.” – Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim / Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute
Syed Ahmad Israa’ juga yakin sentimen pelabur tidak akan terjejas sekiranya berlaku pilihan raya serta perubahan Kabinet.
Jelas beliau, ini kerana pelabur telah memiliki kepercayaan terhadap kredibiliti Malaysia sebagai proses mencari pemimpin kuat untuk meneruskan kemajuan negara.
Bagaimanapun katanya, jika muncul satu pemain politik yang berjaya menjadi nakhoda baharu kepada bahtera yang membawa masyarakat kepada satu arus baharu, maka pemain politik itu bakal menghentikan rantaian tersebut.
https://www.youtube.com/watch?v=W-Q48l9Jd8o