UKM Bantu Pelajar Baharu & Pelajar B40 Lanjut Pengajian

BANGI, Sabtu – Seramai 4,166 pelajar baharu berjaya memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bagi sesi akademik 2022/2023 di tiga kampus antaranya, Kampus Bangi, Kampus Kuala Lumpur serta Kampus Cheras. 

Naib Canselor, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pihaknya menerima sebanyak 44,750 permohonan dengan 9,112 merupakan permohonan pilihan pertama.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,460 atau kira-kira 36 peratus adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan lima pelajar adalah orang kurang upaya (OKU) yang merangkumi cacat pendengaran, cacat penglihatan dan cacat fizikal.” – Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman / Naib Canselor UKM

Menurut Prof Mohd Ekhwan, UKM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah mengadakan Program Jejak Anak Watan ke rumah bakal pelajar untuk menyerahkan surat tawaran dan bantuan yuran kemasukan serta sara hidup berjumlah RM1,300 seorang. 

Beliau berkata UKM juga menyokong penuh hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilancarkan oleh menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melalui Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG). 

 

Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berpeluang untuk meninjau kolej kediaman pelajar. 

Program itu bertujuan membantu anak sulung dalam keluarga yang memerlukan bantuan untuk  melanjutkan pengajian ke universiti dan UKM juga menerima seramai 10 orang pelajar yang terlibat dalam program sama. 

Lebih menarik lagi, bagi pendaftaran tahun ini, UKM menerima lima pasangan kembar wanita yang akan sama-sama melanjutkan pengajian di universiti itu. 

Dalam pada itu, pelajar baharu UKM turut berkongsi kegembiraan mereka kerana dapat menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan berpeluang untuk belajar secara bersemuka.

Bagi pasangan kembar, Alisya Emilie dan Juwana Amanie, mereka berkongsi rezeki kerana berjaya menempatkan diri masing-masing untuk mengikuti pembelajaran dalam bidang yang sama. 

 

Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman juga berkesempatan untuk bertemu pasangan kembar, Alsyia Emilie dan Juwana Amanie dengan ibunya, Wan Rohani Halim ketika sesi pendaftaran pelajar baharu bagi sesi akademik 2022/2023 di UKM Bangi. 

Ibu kepada pasangan kembar ini, Wan Rohani Halim meluahkan rasa leganya apabila berpeluang melihat anak kembarnya berjaya mendapatkan tempat pengajian dalam pilihan pertama mereka iaitu Undang-Undang.

Salah seorang pelajar, Yashaswini A/P Ganapathy merupakan anak sulung dalam keluarganya bersyukur kerana tawaran pengajian yang diterimanya merupakan bidang pilihan pertama juga selain turut mengakui lebih fokus untuk sesi pembelajaran secara bersemuka. 

Selain itu, menurut Ganapathy dan Sarasvathi, sebagai ibu bapa, mereka perlu memainkan peranan penting untuk mendorong anak-anak melanjutkan pengajian mereka sehingga ke menara gading. 

Mereka turut memuji komitmen kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu para pelajar dari golongan B40 ke universiti awam. 

Perasaan berbeza pula buat salah seorang pelajar, Nurul Ain Natasya Asuad Ridzuan yang tidak berputus asa untuk melanjutkan pengajian biarpun tidak diterima seperti pilihan pertama, namun UKM ini merupakan institusi impian pengajiannya. 

Justeru, tidak dapat dinafikan pendidikan adalah perkara penting dalam kehidupan setiap individu dan peluang ini tidak datang secara bergolek tanpa usaha keras yang mampu mengubah hidup mereka.

https://www.youtube.com/watch?v=Y980rZuwV8c

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hakim Meragui Pelepasan Tuduhan Rasuah Ke Atas Zahid

Next Post

Agong Titah Rakyat Dan Agensi Kerajaan Sedia Hadapi Risiko Banjir

Related Posts