Bangi, Ahad – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat Malaysia terutamanya agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk memperkemaskan diri dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi risiko banjir berskala besar yang dijangka melanda bulan November nanti susulan Monsun Timur Laut.
Al-Sultan Abdullah bertitah ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW juga menuntut semua umatnya untuk sentiasa melakukan persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya perubahan fenomena cuaca yang bakal berlaku kelak.
“Mengambil tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” marilah kita menyatukan ikatan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah.” – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah / Yang di-Pertuan Agong
Dalam pada itu, turut hadir sama ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Haji Ahmad serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusof.
Selain itu, Seri Paduka bertitah persediaan tersebut turut merangkumi satu kaedah yang dirangka untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir secara terancang, segera dan efektif selain untuk mengurangkan kesan banjir.
https://www.youtube.com/watch?v=oLDU_8VFJoA