BANGI, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah pengekalan sekolah vernakular untuk dimasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
Presidennya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sekolah vernakular akan memberi jurang kepada perpaduan serta menjadi penghalang integrasi nasional di antara masyarakat majmuk di Malaysia.
Beliau berkata sekolah vernakular ini akan mencipta jurang dari pelbagai segi termasuklah dari segi pengetahuan, cara berfikir bahkan pertuturan bahasa yang menyumbang kepada penghalang pembentukan perpaduan negara.
“Sebab sekolah vernakular itu sendiri sebenarnya adalah merupakan suatu yang akan memberikan jurang dari segi pengetahuan. Kemudian begitu juga dari segi cara pandang, cara fikir, bahkan begitu sampai kepada kemahiran berbahasa pun. Jadi semua itu sebenarnya akan menjadi penghalang kepada integrasi nasional.” – Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni / Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual TV PERTIWI, bagi menyatakan sokongan kepada hampir ke semua elemen yang dikemukakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kecuali pengekalan sekolah vernakular di negara ini.
Tegasnya, parti politik yang bakal bertanding perlulah memandang serius isu berkaitan perpaduan kaum ini dari pelbagai sudut agar keharmonian dan keamanan negara berbilang kaum ini akan tercapai.
Sebelum ini, Datuk Wan Salim telah menyatakan elemen-elemen yang wajar di masukkan dalam manifesto PRU15 termasuk meneruskan pendidikan vernakular untuk semua kaum dengan memasukkan subjek tentang latar belakang sejarah penubuhan negara Malaysia dan elemen patriotisme.
Selain itu, beliau menyarankan manifesto yang bakal dirangka juga wajar mempunyai elemen untuk memartabatkan bahasa Melayu termasuk usaha mengembalikan tulisan jawi kepada kedudukannya yang asal di dalam kurikulum pendidikan negara yang formal.
https://www.youtube.com/watch?v=8yPRDaSrSDU