KEDAH, Jumaat – Tidak dijumpai kompleks tamadun yang serba lengkap di Asia Tenggara melainkan di kawasan Sungai Batu, di sini.
Tamadun lengkap ini menjadi penanda kegemilangan dengan penemuan bukti-bukti sejarah seperti tapak peleburan besi, tapak jeti, kawasan pentadbiran dan ritual agama.
Ini membuktikan kemajuan orang Melayu sudah lama dicapai, dan diiktiraf dunia sebagai bangsa yang mahir dan berupaya menguasai ketamadunan yang hebat di Asia Tenggara.
Tapak arkeologi Sungai Batu telah diekskavasi pada tahun 2008 dan 2009 oleh pusat arkeologi global Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Jabatan Warisan Negara.
Tapak bersejarah seluas 30 hektar ini telah dibeli Jabatan Warisan Negara dan diwartakan sebagai tapak warisan berstatus warisan kebangsaan pada 2012 bagi melindungi kawasan penting ini daripada diceroboh.
“Apa yang kita jumpai di Sg Batu adalah satu bukti yang belum direkodkan malah di Asia Tenggara di mana setakat ni kita dah jumpa 4 fungsi, 1 peleburan besi yang sudah berlangsung abad ke-8 sebelum masihi, besi ni adalah 1 teknologi yang sangat tinggi kerana mesti pandai menaikkan suhu sehingga lebih seribu darjah celcius selain boleh melombong kita dapati juga besi ni dijadikan jongkong dan dieksport dan rekod eksport ini adalah panggilan kepada Kedah Tua oleh negara luar contoh bahasa sanskrit memanggil kedah tua sebagai Kataha, mangkuk besi maknanya pembekal besi dunia malah al-kindi dan al-biruni merekodkan besi terbaik dunia salah satunya datang daripada kalah yang bermakna besi begitu juga bahasa india semuanya mengaitkan Kedah Tua dengan satu industri yang sangat hebat.”
PROF DATUK DR MOKHTAR SAIDIN / Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan
Kompleks Arkeologi Sungai Batu memperlihatkan sekurang-kurangnya terdapat dua juta Tuyere iaitu alat peniup angin.
Alat ini merupakan antara alat penting dalam industri peleburan besi selain relau dan 12 tapak peleburan besi berusia sekitar 788 sebelum Masihi.
Kawasan ekskavasi Sungai Batu yang terletak di ladang kelapa sawit di jalan raya Merbok-Semeling ini, membuktikan tapak itu adalah tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara.
Selain dijumpai tempat peleburan besi, tapak pelabuhan dipercayai digunakan untuk mengeksport besi turut ditemui.
Selain itu, terdapat juga bangunan bagi menguruskan sistem pelabuhan di kawasan ini yang menjadi bukti sudah ada ketamadunan lampau.
Ia juga menggambarkan sudah berlakunya interaksi sosial masyarakat di Sungai Batu serta sebuah kemajuan pada Zaman Kerajaan Kedah Tua.
“Pertama dah ada sistem ekonomi dengan perdagangan dunia luar, kedua dah ada aktiviti peleburan besi yang sanagt terkenal dengan Sungai Batu maknanya kita jumpa besi tu di sekitar kawasan ni juga maksudnya besi itu ada terdapat di sini dileburkan oleh orang yang berkemahiran di sini dan seterusnya di jual dengan pedagang luar. Jadi kita percaya sistem-sistem pentadbiran semua tu telah berlaku di kawasan Sg Batu ini.”
ARDI ASMERA SAEMAN / Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Utara
Keluasan Kerajaan Kedah Tua ini ialah 1,000 KM persegi dan berada di sepanjang Selat Melaka iaitu dari Selatan Thailand hingga Klang, Selangor.
Di Kedah, selain kawasan Sungai Batu, beberapa rahsia kawasan lain juga terbongkar dengan bukti ketamadunan manusia lampau.
Kawasan terbabit ialah di sepanjang Sungai Muda dan Sungai Merbok yang mana perjumpaan peninggalan orang terdahulu seperti Candi yang merupakan kawasan Ibadah agama Hindu dan Buddha serta penemuan serpihan tembikar dan manik di kawasan Sungai Mas, Kuala Muda, Kedah.
Kawasan ini dipercayai menjadi sebuah bandar pelabuhan yang utama kira-kira 1,500 tahun dahulu yang menghubungkan negara China dan Asia Barat.
“Sungai mas ni kira pusat pemerintahan Kedah yang ke-2, pertama di Bukit Meriam jadi kota bukit meriam, kota sungai Emas, Sungai Emas terletak di kawasan tu je daripada alur Sungai Mas, masuk Kampung terus ke bendang itu Sg Mas sebenar usia pun dalam 780 tahun lebih sekarang.”
ZULFIKRI HAMZAH / Bekas Ketua Kampung Sungai Emas
Menurut Zulfikri, serpihan tembikar dan manik amat mudah dijumpai di kawasan Sungai Mas, malah sebahagian penduduk menjadikan ia sebagai koleksi dan minat selain mampu menambah pendapatan.
“Jumpaan ni semua penduduk ada jumpa benda ni waktu tu seingat saya 80 an waktu ekaskavasi budak-budak Sungai Mas boleh buat duit dengan manik ni sebab bila dapat duit 1 pot kapur kasut yang tenyeh tu kita boleh dapat dalam 300 ribu bila kita bawa manik ni pergi serah kepada jabatan muzium dia akan bagi duit waktu tu, jadi balik sekolah elpas mengaji al-quran budak-budak akan pergi merata pergi cari manik.”
ZULFIKRI HAMZAH / Bekas Ketua Kampung Sungai Emas
“Dulu kami ramai-ramai rajin mandi sungai sambil-sambil selam tu dekat pasir angkat ada jumpa manik ambil bawa balik tapi tak tahu benda tu berharga kami tak tau tapi yang cantik kami buat koleksi jelah masa tu pun ayah kurang lagi himpun tu tapi dah 1 hari jabatan muzium datang nak buat kajian melalui itu dia mula kumpul benda ni dan dah boleh buat sejarah depa mula buat koleksi.”
ZURAINI HARUN / Penduduk Kampung Sungai Emas
Bukti arkeologi dan ekskavasi di Kedah memperlihatkan ketamadunan Melayu pada zaman Kerajaan kedah Tua yang sangat menarik dan boleh menjadi satu semangat jati diri bangsa.
Kajian demi kajian seharusnya dijalankan dan usaha mengangkat tapak sejarah ini perlu diteruskan bagi membongkar kemajuan yang dikecapi orang zaman dahulu seterusnya menjadi sejarah yang sangat penting buat negara.
Lagi laporan tamadun awal Tanah Melayu dalam laporan di TV Pertiwi.
https://www.youtube.com/watch?v=3Eu-QMePoj0