PUNCAK ALAM, Rabu – Sambutan Hari Kebangsaan 2022 kembali meriah di seluruh negara setelah 2 tahun ditangguh berikutan pandemik COVID-19. Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R) juga tidak melepaskan peluang dengan mengadakan acara Merdeka Ride sambil mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2022 di Puncak Alam, di sini.
Penaung Kelab Bersekutu 2 Roda Tan Sri Rozali Ismail berkata, matlamat konvoi ini adalah untuk menghargai dan meraikan Sambutan Kemerdekaan pada tahun ini, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli Kelab bersama penduduk Bandar Puncak Alam.
“Benda yang kita nak tonjolkan adalah kemuafakatan Keluarga Malaysia yang telah disemarakkan oleh YAB Perdana Menteri kita, sesuai dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Jadi kita tidak mahu ketinggalan, sama-sama kita mengingati sejarah kemerdekaan dan perjuangan datuk nenek kita untuk menyambut kemerdekaan.
Kita juga akan adakan pelbagai program kemasyarakatan untuk menyemarakan lagi sambutan bulan kemerdekaan.”
TAN SRI ROZALI ISMAIL / Penaung Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R)
Ketika ditanya wartawan berhubung beliau akan bertanding di Kuala Selangor, Rozali hanya bersahaja dan menjawab bahawa beliau belum membuat keputusan lagi berkenaan perkara tersebut.
“Saya belum lagi buat keputusan”
TAN SRI ROZALI ISMAIL / Penaung Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R)
Pada 17 Julai lalu, media tempatan melaporkan tokoh korporat itu akan bertanding di daerah Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang. Namun, belum memutuskan untuk bertanding sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) daerah ini.
Program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang ini turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Kuala Selangor Tuan Mohd Raiz bin Radzuan, serta lebih dari 100 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang dianjur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ, serta Puncak Niaga Holdings Berhad.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/08/28/penduduk-kampung-sungai-baru-mengeluh-pampasan-tidak-setimpal/