BANGI, Jumaat -Dato Adi Putra membuat kejutan apabila mengatakan tidak akan hadir pada tayangan gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.
Dengan nada seakan-akan kecewa, Adi Putra menyatakan beliau kesal dengan pihak Studio Kembara yang dikatakan susah untuk dihubungi.
Sehubungan itu, Studio Kembara tampil memberi penjelasan.
Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali berkata, setakat ini tiada masalah dan tiada isu yang sensitif.
Namun sekiranya ada, pihaknya akan menyelesaikan segera kekurangan dan kelemahan dalam aspek pengurusan.
Beliau berkata, walaupun Adi Putra tidak berjaya menghubungi pihak Studio Kembara pada mulanya, penerbit dan penulis skrip filem Mat Kilau, Shahrudin Mat Dali kemudiannya berhubung semula dengan Adi Putra dan dapat berbual dengannya seperti biasa sekitar jam 5 petang semalam.
Adi Putra dikatakan ada menghubunginya lagi pada waktu malam namun, panggilan itu tidak dapat diangkat kerana pihak Studio Kembara sedang mengadakan perbincangan yang panjang dalam satu pertemuan.
Bagaimanapun, Shahrudin cuba menghubungi semula Adi Putra pada jam 11.28 malam namun tidak berjaya.
Beliau turut menghubungi Adi Putra hari ini sekitar jam 12 tengah hari namun sekali lagi menemui kebuntuan.
Pihak Studio Kembara berhasrat untuk bertemu dengan Adi Putra supaya kekeliruan dan salah faham dapat diperbetulkan.
Menurut Abdul Rahman, mengikut perancangan awal pihak Studio Kembara dan pelakon-pelakon utama akan hadir pada tayangan perdana di Jakarta itu.
Filem Mat Kilau akan ditayangkan di 200 pawagam Indonesia bermula 31 Ogos ini dan dijangka akan ditayangkan selama sebulan.
Di Malaysia filem sejarah Melayu itu masih lagi ditayangkan sehingga hari ini dan dilaporkan sudah melebih kutipan 90 juta ringgit.
Audio penjelasan daripada penerbit dan penulis skrip filem Mat Kilau, Shahrudin Mat Dali
Tonton laporan penuh dalam Buletin Pertiwi 12 Ogos 2022 jam 4 petang.
https://www.youtube.com/watch?v=CiOwWuz6CHM