BANGI, Khamis – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 semakin hangat diperkatakan dan menjadi tumpuan ramai pihak samada mampu direalisasikan atau tidak.
Jika diluluskan, Malaysia bakal melakar sejarah dengan melahirkan Generasi Penamat melalui strategi Generational End Game (GEG) yang melarang individu yang lahir pada dan selepas tahun 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban Dr. Mohd Yadzil Yaakub, ketika dihubungi TV Pertiwi berkata, beliau menyambut baik Rang Undang – Undang tersebut dari sudut kesihatan, dan fakta yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan jelas menunjukkan terdapat lebih banyak kesan buruk kepada kesihatan dari penggunaan produk tembakau dan peranti rokok elektronik (Vape).
“Dari sudut kesihatan amat lah baik. Kos perubatan juga banyak digunakan untuk merawat pesakit-pesakit ini yang terutamanya telah mencapai tahap akhir atau kritikal yang memerlukan perkhidmatan ICU. Dan kita sedia maklum rawatan ICU akan menelan kos yang mahal. Dengan peningkatan kos kesihatan yang tinggi sekarang sudah tentu akan menjadi beban yang besar kepada kerajaan.”
DR. MOHD YADZIL YAAKUB / ADUN Bemban
Beliau berkata, kos perubatan yang tinggi terutamanya pesakit kritikal yang memerlukan perkhidmatan ICU yang saban tahun meningkat akan menjadi bebanan yang besar kepada kerajaan.
Yadzil yang merupakan bekas Doktor Perubatan juga menegaskan, merokok dan penggunaan peranti elektronik bukanlah suatu penyakit yang boleh dirawat dengan ubat-ubatan, malah ia merupakan suatu tabiat yang menjadi amalan seharian sehinggakan seseorang itu menjadi ketagih.
Jelasnya, untuk mengubah tabiat adalah satu proses yg memakan masa yang lama dan perlukan disiplin yg tinggi. Bukan ubat yang menjadi faktor utama dalam mengubah perilaku seseorang dari merokok kepada tidak merokok.
Beliau turut menyatakan, dalam melaksanakan satu undangan-undang sebegini perlulah diteliti secara mendalam, kerana jika dilaksanakan terburu-buru akan menyebabkan implikasi yang negatif.
Beliau tidak menafikan mungkin akan terlihatnya pemberontakan dari golongan GEG ini, malah penyeludupan rokok haram dan murah yang kini yang berleluasa juga tidak akan memberi kesan kepada undang-undang ini jika tidak ditangani lebih awal.
Kelmarin, Dewan Rakyat bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke JPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan.
Usul RUU berkenaan yang kini masih berada di peringkat bacaan kali kedua, dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Parlimen untuk dirujuk ke jawatankuasa berkenaan selepas ia dibahas 12 Ahli Parlimen, seterusnya digulung oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/08/02/geg-perlu-sokongan-wakil-rakyat-demi-selamatkan-dua-juta-nyawa/