KUALA LUMPUR, Selasa – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang diusahakan sejak lebih sedekad lalu, pada masa ini, sedang dikupas oleh ahli Dewan Rakyat, dan persetujuan majoriti mereka diperlukan untuk pelaksanaannya demi menyelamatkan dua juta nyawa rakyat menjelang 2040.
Jika diluluskan, Malaysia bakal melakar sejarah dengan melahirkan Generasi Penamat melalui strategi Generational End Game (GEG) yang melarang individu yang lahir pada dan selepas tahun 2007 merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.merokok.
“Jika diluluskan dan pelaksanaan GEG berjaya, kita dapat elakkan dua juta kematian. Tidak banyak rang undang-undang di negara ini yang boleh menyelamatkan nyawa sebegitu banyak (dan) sebab itu, saya merayu ahli-ahli Parlimen bersama-sama meluluskan rang undang-undang ini”
KHAIRY JAMALUDDIN / Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan undang-undang itu sebagai agenda kerajaan paling mustahak kerana mampu mengurangkan kematian akibat penyakit berkaitan merokok, demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Antara lain, undang-undang itu memperuntukkan individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok, boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Bagi mereka yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda hingga RM5,000, jika sabit kesalahan.
Menurut Khairy, kerajaan menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi untuk rawatan akibat komplikasi merokok berbanding hasil yang diperoleh daripada industri itu.
Pada 2020 sahaja, kerajaan membelanjakan RM6.21 bilion bagi rawatan penyakit akibat komplikasi merokok dan dijangka meningkat kepada RM8.77 bilion menjelang 2030. Kos rawatan bagi seorang pesakit rokok elektronik (vape) atau Vaping Associated Lung Injury (EVALI) pula melebihi RM150,000 untuk 12 hari kemasukan hospital dan dianggar berjumlah RM369 juta bagi merawat 2,445 orang menjelang 2030.
Mengulas syor Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen agar GEG ditangguhkan selama tiga tahun, beliau berkata jika syor itu diterima, jumlah kematian akan meningkat kepada 81,000 orang dalam tempoh tiga tahun berkenaan.
Kesan lain ialah bilangan kematian pramatang akan meningkat. Ketika ini, menurut Malaysian Factsheet The Tobacco Atlas 2019, bilangan kematian pramatang dianggarkan sebanyak 27,000 kes setahun.
Selain itu, undang-undang berkenaan juga perlu bagi mengawal selia penjualan produk rokok elektronik dan vap yang selama ini tidak dikawal di negara ini.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/22/pemilik-flat-kg-baru-nafi-setuju-sebarang-tawaran-daripada-pemaju/