KUALA LUMPUR, Rabu – Siti Nuramira Abdullah didakwa menghina Islam dibebaskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan tidak akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur hari ini.
Pendakwaan tidak diteruskan kerana membabitkan tuduhan bersifat sama dan hukuman dihadapi jika disabitkan kesalahan melalui pertuduhan di mahkamah sivil adalah lebih berat berbanding hukuman diperuntukkan melalui tuduhan mahkamah syariah.
Paralegal kepada peguam R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir dalam kenyataannya berkata, Siti Nuramira akan dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh JAWI dengan serta merta.
Menurut Hannann, JAWI akan berhubung dengan Siti Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan, bagaimanapun setakat jam 9 malam semalam, mereka tidak berjaya mendapatkan seorang penjamin untuk membantu Siti Nuramira.
Pencarian penjamin diteruskan apabila penjamin seorang akauntan dari London yang baru pulang ke Malaysia, dianggap tidak sesuai oleh peguam syarie.
Semalam, Siti Nuramira ditahan penguat kuasa JAWI selepas dibebaskan dengan jaminan berkaitan pertuduhan menghina Islam yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
TV Pertiwi bersama pengamal media telah berkumpul sejak jam 8 pagi tadi di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur untuk membuat liputan pendakwaan itu, bagaimanapun difahamkan ia tidak akan diteruskan hari ini.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/19/nuramira-akan-didakwa-di-mahkamah-tinggi-syariah-esok/