KUALA LUMPUR, Isnin – UMNO akan menghadapi masalah besar jika terpaksa melakukan pemilihan terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO tidak boleh tergesa-gesa membuat pemilihan parti kerana akan berlaku pecah-belah di dalam parti jika ia diadakan dalam masa terdekat ini.
“Kami telah membuat kajian berkali-kali jika pemilihan UMNO dilakukan sebelum PRU-15. Ia adalah kesan yang negatif kepada kekuatan UMNO.”
DATUK SERI AHMAD MASLAN / Setiausaha Agung UMNO
Ahmad Maslan berharap, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) boleh membuat keputusan secara profesional memandangkan MCA sudah diluluskan dan UMNO juga boleh mendapat keputusan yang sama.
Ujar beliau, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin amat tahu mengenai perkara ini tentunya beliau akan membantu UMNO untuk memastikan UMNO kukuh sebelum pilihan raya.
Bagaimanapun Ahmad Maslan tetap positif menantikan keputusan RoS.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG bertajuk UMNO, Apa Cerita RoS? malam tadi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai jika keputusan tidak memihak kepada UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya sudah mempunyai jadual bermula September hingga Disember tahun ini.
UMNO sebelum ini membuat pindaan terhadap perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan parti untuk tempoh 18 bulan atau enam bulan selepas PRU-15.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/18/salahkan-pemimpin-jangan-sentuh-ketuanan-melayu-pengarang-tv-pertiwi/