KUALA LUMPUR, Selasa – Wanita kontroversi yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI hari ini.
Siti Nuramira ditahan penguatkuasa JAWI selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya, Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi tadi.
Berdasarkan prosedur, wanita itu akan ditahan oleh JAWI selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.
Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, Nuramira dan teman lelakinya, Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.
Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, yang membenarkan Siti Nuramira, 26, diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin, memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.
Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Alexander Navin turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/19/jemaah-haji-kongsi-pengalaman-manis-setelah-2-tahun-pandemik/