BANGI, Khamis – Kemarahan umat Islam terus memuncak apabila tular pula sebuah tangkap layar memaparkan pemilik akaun seorang lelaki – juga pengasas bersama kelab komedi itu – apabila meminta seorang wanita muslim membuka minuman bir untuknya.
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, perlakuan itu jelas bukan sahaja menghina Agama Islam malah menghina masyarakat muslim.
Ini susulan video yang dimuat naik di TikTok, pemilik akaun bernama Rizal Van Geyzel sedang membuat persembahan komedi berdiri yang kononnya berkongsi pengalaman bersekolah di sekolah kerajaan, mengaitkan pembelajaran pengajian Islam.
Bukan itu sahaja, video tular seorang lelaki itu didakwa turut menyindir dan mempersendakan agama rasmi negara itu di kelab komedi sama.
Aminuddin dalam kenyataannya berkata, tangkap layar yang dikongsikan ini yang paling menyakitkan hatinya.
Ujar beliau, sudah banyak video dan tangkap layar hantaran sosial medianya yang menunjukkan penghinaan terhadap Islam dan Melayu yang tular hasil pembongkaran netizen.
Aminuddin berkata, jika dia selaku pengasas begitu bangga berkongsikan persembahan yang kononnya ‘lawak’ itu, maka ini adalah satu bentuk sokongan kuat kepada kelakuan-kelakuan melampau lain oleh pemilik kelab berkenaan.
Justeru, katanya, tidak hairanlah insiden wanita yang membuka tudung dan pakaian baru-baru ini boleh berlaku, kerana seolah-olah ada motivasi tinggi untuk melakukannya.
Beliau turut mempersoalkan apakah DBKL masih ingin bertolak ansur atau takut dengan kritikan pihak tertentu jika mengambil tindakan menghentikan operasi kelab itu serta-merta.
Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, kelab Komedi Crack House di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur yang digantung sementara operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/14/iklan-jual-minyak-masak-secara-online-diturunkan/