PUTRAJAYA, Rabu – Sebanyak 38 iklan penjualan minyak masak paket serta botol yang dipaparkan di dua platform terkenal utama pasaran dalam talian telah diarah untuk diturunkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu merupakan inisiatif Kementerian untuk menggempur barang dagangan bersubsidi yang dijual secara atas talian.
“Rentetan itu, sebanyak 255 minyak masak peket satu kilogram (kg) dan 41 botol dalam bungkusan 500 gram, 1 kg, 2 kg serta 3 kg disita dengan nilai rampasan sebanyak RM1,495.50. Kedua-kedua kes ini sedang dalam tindakan mengikut saluran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP,”
DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI / Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Beliau berkata, penguatkuasaan bagi tempoh 1 hingga 12 Julai lalu turut menyaksikan 18 premis yang mempunyai alamat penjual pada platform dalam talian berkenaan digempur, sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bekalan minyak masak paket dan botol.
Sebanyak 255 paket minyak masak dan 41 buah botol minyak masak telah disita dalam operasi selama dua minggu itu.
Hasil daripada operasi itu, 1 kes direkodkan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974, iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong atau runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4.
Bagi kes kedua pula, katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi kesalahan menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.
Susulan itu, bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan barangan subsidi, KPDNHEP selanjutnya sedang meneliti beberapa langkah untuk mengetatkan tatacara jualan dalam talian khususnya membabitkan barangan kawalan serta barangan bersubsidi.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/07/13/kpdnhep-akan-tarik-lesen-subsidi-pengilang-seludup-minyak-masak/